(Article in Bahasa Melayu)
Info Tenaga UTeM
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melaksanakan sistem pengurusan tenaga lestari bagi menyokong agenda kampus hijau dan kelestarian alam sekitar. Usaha ini bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga secara berkesan serta memenuhi pengiktirafan Energy Management Gold Standard (EMGS) 3 Bintang. Antara langkah yang diambil termasuklah menjalankan audit tenaga secara berkala, menggunakan sistem Building Management System (BMS) untuk memantau penggunaan elektrik, serta menaik taraf infrastruktur kepada teknologi cekap tenaga seperti lampu LED, sensor gerakan dan pendingin hawa. Selain itu, UTeM juga memanfaatkan tenaga boleh baharu melalui pemasangan panel solar di beberapa bangunan bagi mengurangkan kebergantungan kepada grid nasional. Bagi meningkatkan kesedaran warga kampus, pelbagai kempen penjimatan tenaga turut dijalankan, antaranya program “Tutup Suis & Cabut Plug”, bengkel kesedaran hijau dan pemasangan poster di kawasan strategik. Hasil daripada pelaksanaan sistem ini, UTeM berjaya menjimatkan sehingga 21% tenaga elektrik setiap tahun dan seterusnya mengurangkan pelepasan karbon di kampus. Usaha ini bukan sahaja menjadikan UTeM sebagai universiti teknologi hijau yang progresif, malah turut menyumbang ke arah aspirasi negara untuk mencapai sasaran sifar karbon menjelang tahun 2050.
Objektif
- Menjimatkan penggunaan tenaga dengan mengurangkan pembaziran elektrik dan air.
- Mengurangkan kos operasi universiti melalui amalan tenaga yang cekap.
- Meningkatkan kecekapan tenaga melalui penggunaan teknologi moden dan mesra alam.
- Mengurangkan pelepasan karbon (CO₂) bagi menyokong usaha kelestarian alam sekitar.
- Meningkatkan kesedaran warga kampus tentang kepentingan penjimatan tenaga dalam kehidupan seharian.
- Mencapai pengiktirafan tenaga seperti EMGS 3 Bintang untuk universiti.
- Menyokong aspirasi negara ke arah pembangunan mampan dan sasaran sifar karbon menjelang 2050.